Sejarah




Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau (SMKBS) mula beroperasi pada tahun 1979 secara menumpang di Sekolah Menengah Tunku Sulong, Jeniang, Kedah Darul Aman.
Pada awalnya sekolah hanya menempatkan pelajar-pelajar Tingkatan Satu sahaja. Selepas lima tahun beroperasi, bilangan pelajar telah bertambah dan merangkumi semua tingkatan, iaitu tingkatan satu, tingkatan dua, tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima. Setiap tingkatan terdiri daripada empat kelas dengan kapasiti pelajar di antara 40 - 45 orang. Pelajar-pelajar kebanyakannya berbangsa Melayu dan 10% daripadanya berbangsa Cina, India dan Siam.
Pada tahun 1984 SMKBS telah berpindah ke premisnya sendiri di alamat yang ada sekarang. Bangunan SMKBS pada awalnya terdirinya daripada tiga blok bangunan dua tingkat dan dua blok bangunan satu tingkat dan sebuah kantin.Pada tahun 2000 SMKBS telah berjaya membina sebuah surau yang mampu menampung 200 jemaah pada satu-satu waktu. Pembinaan surau ini adalah hasil sumbangan waris pelajar, guru-guru, orang perseorangan dan sektor korporat.
Pada 5 Mac 2003 sebuah bangunan baru empat tingkat yang menempatkan pejabat pentadbiran sekolah yang baru telah mula diduduki. Di bangunan ini juga ditempatkan sebuah pusat sumber dan sebuah bilik tayangan yang mampu memberi keselesaan kepada pelajar. Pada tahun berikutnya sebuah bangunan Makmal Komputer telah siap dibina dan mula digunakan pada tahun 2004.
Pada 10 Januari 2004 dua blok bangunan asrama empat tingkat telah mula digunakan untuk menempatkan 120 orang pelajar. Sebuah dewan makan juga disediakan untuk kemudahan pelajar.
Hingga kini SMKBS mempunyai seramai 758 orang pelajar dan 48 orang guru serta 9 orang staf sokongan.